MyePH

Assalamulaikum… Dah lama rasanya tak menulis ni… Kali meh le kita sama-sama kongsi pasal fadhilat Ramadhan… Ni antara hadis-hadis yang menyetakan bab fadhilat Ramadhan ni…

 

"Dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."

 

"Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."

 

"Dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya."

 

"Dari Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun mendirikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat."

 

"Dari Sahl bin Saad r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."

 

"Dari Anas r.a katanya: Kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan. Di antara kami ada yang tetap berpuasa dan ada pula yang berbuka. Kami berhenti di suatu tempat ketika hari sedang panas terik. Di kalangan kami, orang yang paling banyak mendapat naungan ialah orang yang berpakaian lengkap. Sementara orang yang tidak berpakaian lengkap, melindungi kepala mereka dari panas cahaya matahari dengan meletakkan tangan di atas kepala. Ketika itu orang yang berpuasa berada dalam keadaan sangat letih tidak seperti orang yang berbuka, keadaan mereka tetap segar. Kemudian mereka mendirikan peneduh dan memberi minum binatang tunggangan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jelaslah orang yang berbuka hari ini, pergi dengan membawa bersama pahalanya."

 

"Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa."

 

"Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah."

 

"Dari Ibnu Umar r.a: Terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut."

 

"Dari Abu Said Al-Khudriy r.a: Rasulullah s.a.w pernah beriktikaf iaitu berada di dalam masjid selama sepuluh hari pada pertengahan bulan Ramadan. Selepas berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki hari atau malam yang kedua puluh satu baginda pulang ke rumahnya. Para sahabat yang beriktikaf bersama-sama baginda juga turut pulang. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda di bulan Ramadan yang sama dan waktu yang sama di mana baginda pulang ke rumah, setelah menyuruh atau mengajak mereka supaya selalu tabah terhadap kehendak Allah dengan sabdanya: Aku telah beriktikaf selama sepuluh hari dan kemudian aku lanjutkan selama sepuluh hari yang berikutnya. Oleh itu sesiapa yang ingin melanjutkan iktikaf bersamaku, tetaplah berada di tempat iktikafnya. Aku telah bermimpi melihat Lailatulqadar tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh hari ganjil yang terakhir. Pada waktu itulah aku melihat aku sedang sujud pada air dan tanah. Abu Said Al-Khudriy r.a berkata: Kami dibasahi hujan pada malam hari yang kedua puluh satu. Masjid telah basah, begitu juga dengan tempat sembahyang Rasulullah s.a.w. Aku melihat ke arah baginda setelah selesai mendirikan sembahyang Subuh. Wajah baginda basah terkena lumpur dan air."

 

"Dari Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan."

 

Rasanya cukup dulu untuk kali ni… Sama-samalah kita renungi dan insafi diri kita sedalam-dalamnya…

Wassalam…



Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

Categories:
Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers