MyePH

Kita semua sedia maklum, apabila seorang wanita dinikahi maka keutamaan baginya ialah mentaati suaminya tanpa berbelah bagi selagi mana suaminya tidak menyuruhnya melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT. Mentaati suami perlu diutamakan tanpa menafikan kewajipan mentaati kedua-dua ibu bapa. Tidak kira ibu bapa itu daripada pihak suami mahupun daripada pihak isteri. Berkahwin bukan sekadar mengikat tali hubungan antara seorang lelaki dan perempuan malah perkahwinan itu ialah jambatan bagi membina persaudaraan antara keluarga lelaki dan perempuan.

Perkahwinan dalam Islam tidak menghilangkan identiti perempuan kepada keluarga suami. Sesetengah agama/bangsa lain yang non-Muslim, apabila seorang perempuan itu berkahwin, dia tidak lagi dibenarkan mempunyai hubungan dengan keluarganya, malah namanya juga ditukarkan kepada nama keluarga suaminya.

Perempuan muslim dalam perundangan Islam apabila dkahwinkan, tidak sekali-kali akan bertukar corak, khususnya namanya seperti yang berlaku dalam masyarakat Eropah yang ditiru oleh perempuan-perempuan Islam hari ini dengan menghilangkan namanya sendiri digantikan dengan menjadi Mrs (so and so). Perempuan Islam tetap dengan nama asalnya, dinasabkan ke atas bapanya, tanpa perlu digantikan dengan nama suami yang cuma mendatang dalam hidupnya.

Berbalik kepada persoalan di atas, sebenarnya tidak timbul soalan siapa yang perlu diutamakan jika kedua-dua belah pihak memahami bahawa keluarga isteri adalah keluarga suami juga, dan keluarga suami adalah keluarga isteri.

Ketaatan seorang isteri kepada suaminya adalah perintah Allah SWT. Dalam hadis Baginda Rasulullah SAW ada menegaskan yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh (diberi kuasa untuk menyuruh makhluk sujud kepada makhluk yang lain) menyuruh seorang itu sujud kepada seorang yang lain pastinya aku menyuruh si isteri sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, jld:7, hlm:291, Abu Daud, Sunan Abi Daud, jld:2, hlm:605, al-Tarmidzi, Sunan al-Tarmidzi, jld:4, hlm:323).

Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW memperlihatkan akan kedudukan suami yang sepatutnya dihormati, sekali gus tidak ingkar kepada perintahnya. Dalam maksudnya yang lain menggambarkan bahawa suami mesti dimuliakan, dan kemuliaan itu bukan kerana Islam ingin memberi darjat yang berbeza antara lelaki dan wanita tetapi adalah untuk melihat kepada pengorbanan dan kesanggupan dia menjadi suami dan menjaga kehormatan isterinya.

Persoalan yang sering kali menjadi dilema seorang wanita yang bergelar isteri : “Bolehkah seorang isteri menziarahi ibubapa (atau keluarganya) tanpa izin suami?” Malah, ramai yang berfahaman, “Ketaatan seseorang isteri kepada suami lebih dituntut” berbanding dengan “Ketaatan isteri kepada ibu bapanya”.

Sebagai contoh, saya petik kata-kata ini, “....bila dah berumahtangga, syurga suami masih di bawah tapak kaki ibu kandungnya ..... dan syurga isteri dah bertukar ke bawah tapak kaki suaminya ..... hatta ada dalam sejarah Islam yg merujuk kepada ketaatan isteri hendaklah sepenuhnya pada Allah dan suami sehinggakan kalau suami tak benarkan isteri berjumpa dengan mertua (ibu bapa isteri) sekalipun, isteri hendaklah taati suaminya...” [sila rujuk : bincang.net]

Status syurga bertukar tapak kaki, ya? Jika ada prasa yang mengatakan syurga di bawah tapak kaki, tidak kira tapak kaki siapa pun, frasa itu tidak tepat. Syurga adalah tempat yang tinggi darjatnya, mengapa pula hendak diletak-letakkan di bawah tapak kaki...? Hemmm.... adakah ini ajaran Islam yang sebenarnya? [Rujuk : Syurga di tapak kaki? dan Syurga di tapak kaki? - Part 2.]

Bagaimanapun, saya hanya ingin mengupas persoalan hak isteri dalam menziarahi ibubapa tanpa izin suami ini, saya samakan dengan taat suami vs taat ibubapa, bukan hak suami vs hak isteri.

Saya difahamkan, seorang isteri tidak boleh keluar menziarahi ibu bapa (walaupun ibu bapanya sakit atau meninggal dunia) jika tiada keizinan suami. Ini berdasarkan dua kisah yang berbeza seperti di bawah :

Kisah 1 – Petikan 3permata.itgo.com.

Dalam sebuah riwayat diterangkan; sesungguhnya telah terjadi di zaman Rasulullah SAW seorang suami pergi berperang meninggalkan isterinya. Ketika hendak meninggalkan rumah dia berpesan kepada isterinya, “Janganlah kamu meninggalkan rumah sehingga aku pulang dari berperang.” Pada waktu si suami sedang tiada di rumah, ibu si isteri jatuh sakit.

Maka si isteri tersebut mengutus seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat ibunya. Jawab Rasulullah, “Tunggulah suamimu pulang, janganlah keluar rumah.” Akhirnya orang tua si isteri meninggal dunia. Lalu si isteri mengutus lagi seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat ibunya. Lalu Rasulullah menjawab, “Tunggulah hingga suamimu pulang.” Setelah itu Rasulullah SAW mengutus seseorang kepada si isteri tersebut untuk memberikan berita bahawa Allah SWT telah mengampuni dosa ibunya disebabkan ketaatannya kepada suaminya.

Jadi seorang wanita yang solehah itu ialah wanita yang telah sanggup meletakkan sesuatu pada tempat yang benar. Ertinya, jika ia sudah bersuami, maka yang peling berhak terhadap dirinya adalah suaminya, melebihi diri ibu dan bapa serta keluarganya yang lain.

Kisah 2 – Petikan Suami larang isteri ziarah keluarga.

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

“Seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit.

Nabi SAW bersabda; “Taatilah suami kamu.” Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda, “Taatilah suami kamu.” Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya[5]” [5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.

Saya bukanlah seorang yang arif tentang hadis, namun saya lihat hadis pertama tiada perawi mahupun periwayat dan hadis kedua dikatakan sanadnya lemah, juga tiada perawi dan riwayat daripada siapa. Kisah 1 berkenaan ibu yang sakit dan kisah 2 pula si ayah yang sakit. Apakah status hadis-hadis ini? Jika sanadnya lemah, adakah statusnya ‘hadis daif’? Betulkan saya jika tersilap.

Bolehkah kita beramal dengan hadis daif? Sedangkan, para ulama sendiri berkhilaf pendapat dalam penggunaan hadis dhaif. (rujuk : Hukum beramal dengan hadis dhaif)

Dari sumber di atas, ada tiga golongan ulama yang khilaf pendapat iaitu :

Golongan pertama - Hadis dhaif tidak boleh digunakan walaupun untuk tarqib (galakan), tarhib (menakut-nakutkan), fadhail amal (kelebihan beramal) ataupun untuk langkah berjaga-jaga. Ini merupakan pendapat Imam Bukhari dan Muslim, yang disokong oleh Abu Bakar al-Arabi (Mazhab Maliki), Abu Syamah al-Maqdisi (Syafie), Ibnu Hazmin (Zahiri) dan lain-lain.

Golongan kedua - Harus (boleh) menggunakan hadis dhaif jika tidak ada sandaran-sandaran lain tentang sesuatu perkara sama ada daripada al-Quran, hadis, qias, ijma, istihsan dan lain-lain. Ini adalah pendapat Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Kata Imam Ahmad: “Hadis dhaif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang.”

Golongan ketiga - Hadis dhaif boleh digunakan sebagai hujah dalam fadhail amal, peringatan, kisah-kisah, galakan dan sebagainya. Namun begitu secara umumnya tidak boleh digunakan dalam soal akidah dan hukum-hakam. Ini adalah pendapat yang muktamad bagi para ulama muhaqqiqin dengan syarat-syarat yang tertentu. Antara tokoh yang berpegang dengan panangan ini ialah Imam Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar.

Saya lebih cenderung kepada golongan pertama, kerana saya pernah membaca artikel di utusan, sahih Imam Bukhari dan Muslim hampir/dekat dengan al-Quran. Jadi, saya guna-pakai pendapat Imam Bukhari dan Muslim dalam bab hadis dhaif juga.

Hasil carian di internet lagi, menemukan saya dengan info di bawah :

Sumber 1 – utusan menyebut :

Peruntukan dalam feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah menegaskan harus si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka setiap hari kalau dia mahu.

Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman, sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya (hlm:162).

Sumber 2 – kias.edu.my/nushus pula menyebut :

Mengenai keluar rumah kerana menziarahi dua ibu bapa walau pun tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz mengikut setengah pandangan, malah mereka berpendapat isteri mempunyai hak menziarahi dua ibu bapa lebih kerap sekiranya dua ibu bapanya sakit dan tidak ada orang lain yang menjaganya. Ini tanpa mengira samada di izin atau tidak oleh suami kerana manusia dituntut oleh Islam membuat kebaikan sedaya yang mampu kepada dua ibu bapa ,samada sebelum atau selepas kahwin dan samada ibu bapa Islam atau tidak.

Hanafi hanya membolehkan isteri menziarahi dua ibu bapa tanpa izin sekirnya mereka sakit sahaja. Dengan lain perkataan menziarahi dua ibu bapa tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz sekiranya mereka sakit.

Ada pandangan lain menyatakan makruh suami tidak mengizin isteri menziarahi dua ibu bapanya. Alasannya membuat kebaikan kepada dua ibu bapa dan menghubung tali silaturrahim adalah kewajipan yang dituntut oleh agama. Menghalang mereka menziarahi dua ibu bapa menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan dan mendorong mereka melaku perbuatan derhaka. Sedangkan melaku kebaikan dan menghubung silaturrahim adalah satu tuntutan Syara'. Firman Allah, (al-Isra’ : 24), maksudnya, “Allah telah memfardukan kepada kamu supaya kamu jangan mengabdikan diri melainkan terhadapNya dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu melaku ihsan.”

Persoalan yang banyak berlegar di sekeliling kita :

1. Apakah hak seorang suami dalam melarang/menegah isteri daripada menziarahi ibubapanya?
2. Apakah peruntukan undang-undang Islam Negeri dalam hak isteri menziarahi ibubapa/keluarga (tanpa izin suami)?
3. Bukan sedikit isteri dalam dilema terpaksa taat kepada suami sehingga mengabaikan ibubapa. Benarkah ajaran Islam ada menyatakan ketaatan isteri berpindah kepada suami bila dia berkahwin?
4. Bukan sedikit anak perempuan membelakangkan ibu bapa, atas alasan sudah bersuami, malah ramai yang beranggapan isteri adalah hak mutlak suaminya.
5. Bagaimana pula jika ibu bapa yang hanya mempunyai anak perempuan, adakah mereka hilang hak diziarahi anak (jika suami tidak membenarkan)?

Akibat dilema inilah, ada isteri yang menyangka Islam sangat zalim kerana perkahwinan memisahkannya dengan ibu bapa dan keluarganya. Mereka merasakan Islam tidak adil dan banyak memihak kepada suami. Akibat dilema ini juga, ada ibu bapa merasa, rugi sungguh jika mendapat anak perempuan kerana apabila dia bersuami, dia sudah jadi hak suami dan ibu bapa tak dipedulikan lagi. Adakah ini ajaran Islam yang sebenarnya?

Mengikut fahaman saya, taat kepada siapa pun kita harus melihat kepada keadaan/situasi seseorang isteri. Kalau suami halang isteri daripada menziarahi atau menjaga ibubapa yang sakit, apakah isteri perlu taat hanya kerana takut masuk neraka kalau tidak taat?

Ada suami yang beri kata dua kepada isteri, contohnya “Kalau kamu balik kampung ibubapa kamu, jatuh talak satu!”, atau isteri diugut begini, “Sekarang awak sudah menjadi isteri saya, jadi awak kena taat pada saya. Bukan taat kepada ibubapa awak. Kalau saya tidak benarkan awak ziarah ibubapa awak, awak tak boleh ziarah.”

Dalam situasi di atas, apakah pilihan isteri? Sejauh manakah ketaatan kepada suami mengatasi ketaatan kepada ibu bapa? Apakah jatuh haram isteri (berdosalah) yang langgar perintah suaminya yang melarang dia menziarah ibubapa sakit (contohnya)?

Teringat saya satu kisah suami diktator di slot cerekarama TV3 yang bertajuk 'Dosa Serupa'. Suami diktator begini layaknya diberi fasakh/khulu' sahaja! Jika sudah terang-terangan diktatornya, lebih baik suami itu tinggalkan sahaja. Ini adalah kerana, hilang berkah Allah di situ. Lalu apa yang hendak kita bawa balik ke kampung akhirat nanti? Mengapa pilih neraka dunia, kalau di akhiratpun tidak pasti dapat mengelak neraka akhirat? Pada masa itu sudah tidak boleh 'undo'. Seorang suami tidak sepatutnya zalim kerana menafikan hak isteri dan derhaka pula kepada ibu bapa mertua.

Suami patut ada IHSAN dan EMPATI terhadap isteri, sebab itulah Allah SWT perintah suami agar bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, seperti dalam firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata.

Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)

Dalam ayat al-Quran yang dipetik di atas, Ibn Kathir berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud : para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466)

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Malangnya, berapa ramai yang ikut perintah Allah yang ini? Akibat mengabaikan perintah Allah yang ini, natijahnya amat teruk sekali. Bila suami tidak ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, maka, tidak hairanlah isteri tidak taat kepada suami.

Iyalah, jika suami ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, secara automatiknya tentu dia juga menjaga hak-hak isterinya. Bila dia menjaga hak-hak isterinya, agak MUSTAHIL isterinya tidak taat kepadanya dan agak MUSTAHIL pula isteri tidak hormat kepada suaminya. Selalunya orang perempuan ini amat tinggi dengan tahap ketaatan dan kesetiaan mereka. Belas ihsan dan empati mereka lebih tinggi (dibanding lelaki), tetapi jika masih ada isteri yang tidak taat walaupun suaminya memenuhi tanggungjawap, adalah silap ‘wayarnya’ di mana-mana...

Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar setiap suami menggauli isteri dengan cara yang baik/maaruf. Ini jelas dapat dilihat dalam hadis baginda yang bermaksud, “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain pula disabda baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Boleh saja ada yang berkata, “Suami tak patut halang isteri ziarah ibu bapa, akan tetapi jika suami halang, isteri wajib taat. Ini kerana menjalinkan silaturahim bukan hanya dengan berziarah, banyak cara lain lagi.”

Ziarah perkataan Arab bererti berkunjung ke~ atau pergi menengok, ada makna 'perjalanan' di situ. Ziarah tidak boleh disamakan dengan talipon/email/surat. Zaman Nabi dulu juga ada cara berhubung juga, saya tak tahu. Mungkin ada yang guna burung merpati, atau surat juga mungkin sudah ada. Saya kurang arif. Walau bagaimanapun ziarah adalah sunnah Nabi, tidak kiralah ziarah ibubapa, ahli keluarga, saudara mara dan saudara semuslim yang lain.

Ziarah kubur pula tidaklah boleh disamakan dengan melihat gambar kubur. Feeling itu berbeza. Tidak sama. Hikmah ziarah memanjangkan silaturrahim, sepertimana dalam sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jika ziarah disamakan dengan talipon/email/surat, konsepnya sama dengan tengok aje laksa yang lazat dan ambil bau saja, TAK BOLEH makan ya...

Kesimpulan

Suami hendaklah berusaha supaya isteri dapat berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri. Isteri pula hendaklah menjalankan tanggungjawab kepada suami dan rumahtangga dengan sebaiknya. Suami tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sekiranya isteri telah berusaha sedaya upayanya memenuhi tanggungjawabnya. Adalah tidak wajar seorang suami menghalang isteri daripada menziarahi ataupun berbakti kepada ibu bapanya. Dengan kata lain, seorang isteri ada tanggungjawab kepada Allah, diri, suami, anak dan ibu. Memutuskan hubungan antara anak dan ibu adalah perbuatan zalim dan berdosa. Islam tidak pernah menyuruh mana-mana orang berbuat perkara sedemikian.

Ketaatan kepada suami hanya terdapat melalui hadis, tiada ayat dalam al-Quran yang jelas memperincikannya. Ketaatan kepada suami juga BUKAN MUTLAK tanpa kompromi. Sebaliknya, ketaatan kepada ibu bapa banyak disebut dalam al-Quran. Allah SWT menyuruh kita berulangkali supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Arahan cukup jelas selepas mentaati Allah tiada ketaatan yang lebih tinggi melainkan mentaati kedua-dua orang tua.

Firman Allah SWT berkenaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra', ayat 23-24).

Baginda Rasulullah SAW telah banyak berpesan agar setiap anak melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapanya di antara hadis Baginda daripada Anas bin Malik yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila menaiki mimbar berkata: “Amin, Amin, Amin," lalu ditanyakan kepada Baginda atas perkara apa tuan ungkapkan amin? Baginda menjawab: Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata:

“Wahai Muhammad kecelakaanlah bagi seseorang itu apabila disebut namamu yang mendengar tidak berselawat ke atas engkau, katakanlah wahai Muhammad, “Amin” , maka aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata lagi, kecelakaanlah seseorang itu yang memasuki bulan Ramadan tetapi pertemuannya tidak mendapat keampunan, katakanlah “Amin” , aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata: “Kecelakaanlah bagi seseorang itu dia bertemu dengan kedua orang tuanya, tetapi pertemuannya dengan kedua orang tuanya tidak melayakkan dia memasuki syurga.” (Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 50 ).

Di samping itu, banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Keingkaran seseorang dalam mentaati ibu bapa boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Tidak kurang banyak riwayat yang mengisahkan balasan ke atas golongan yang menerima balasan segera dan tunai daripada Allah SWT.

Ingatlah, dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Renung-renungkan...

Categories:

21 Responses so far.

  1. Isteri tidak dibenarkan keluar rumah sebab takut nanti isteri dirogol, difitnah, etc. Syurga isteri di kaki suami dan syurga suami tetap di ibunya. Sekira perempuan sukahati keluar, kita tak tahu dia keluar jumpa ibu bapa nya atau tidak.

  2. Isteri tidak dibenarkan keluar rumah sebab takut nanti isteri dirogol, difitnah, etc. Syurga isteri di kaki suami dan syurga suami tetap di ibunya. Sekira perempuan sukahati keluar, kita tak tahu dia keluar jumpa ibu bapa nya atau tidak.

  3. Tanpa Nama says:

    saya setuju dengan artikel ini, islam itu adil, indah, cantik, sebuah perkahwinan bukan untuk memutuskan sillaturrahim, malah menyambungkannya. sedangkan isteri itu datangnya daripada ibu dan ayahnya. jika tiada ibu dan ayah maka tiadalah isteri tersebut. hubungan dengan suami adalah hubungan mendatang, jika terputusnya hubungan suami isteri itu, maka dimana pula tempat bergantung isterinya. saya mencari jugak sirah kehidupan saidatina Fatimah bersama suaminya yang detail.

  4. Tanpa Nama says:

    pesan saya. hati2 dalam menulis..

    tkut ini yang ditimbang diakhirat jelak
    takut hanya kerana tulisan yang sedikit ini.. membuat isteri2 makin berani untuk berdebat dengan suami sendiri

    sedangkan ulama sendiri takut untuk memberi pandangan sehingga dalam rujukan anda sekalipun hanya tulis pandangan ahnaf....

  5. Tanpa Nama says:

    Kenapa? Kalau isteri solehah dia tidak akan berdebat dgn suaminya.
    Kenapa? Kerana anda ingin memegang kuasa veto sebagai suami? Menganiaya isteri?menghalang isteri dari berjumpa ibubapanya?keluarganya?sebaliknya suami boleh memaksa isteri melayan dan keluarga dan ibu bapa suami? PTG,awk suami yg kejam

  6. Unknown says:

    Pe hukum suami tunai tggjwb Dan tunai kewajipan sebagai suami tapi si isteri tetap dengan family diA Dan memilih duduk dengan family wlaupun jauh dikg...apakah hukumnya ya..lgsg ingkar Dan bersikap dingin dengan keluarga si suami..pe patut buat yer...adakah perlu melayani isteri dengan baik juga sampai pijak kepala....

  7. @hmadHiRO says:

    Seharusnya baca artikel ini sampai habis. Anda akan nampak Islam itu indah. Tidak ada istilah berTUHANkan suami, malahan berTUANkan suami pun tiada. Memang artikel ni panjang sikit, tapi untuk mmemberi kefahaman. So, baca la sampai habis. Barulah tuan/puan nampak kesaksamaan dalam Islam. Tidak ada sekeras-keras hukum yang memberi hak kepada suami untuk menghalang isteri berbuat sesuatu pun, apatah lagi pada kebaikan iaitu ihsan kepada ibu bapa, malahan sekiranya suami menghalang isteri membuat ihsan pada ibu bapanya hukumnya adalah memutuskan silaturrahim yang bersimpangan dengan hukum Allah. So... baca artikel ini sampai habis ye... wallahualam.

  8. Unknown says:

    Aku menghalang bekas janda aku dulu dari kerap menziarahi org tua kerana utk menjaga akidahnya sbb dia kerap ke rumah org tua bertujuan utk jadi bomoh yakni dgn melakukan amalan2 menurun , bakar colok dll...jadi berdosa ke aku halang dia kerap ke sana...tp masalah Makin rumit bila aku berlembut maka terjadi lah pelanggaran akidah so mcmm Mana. Aku cuma nk tahu sbb aku berpisah dulu ats kehendak dia yg sayang sgt amalan terbabit yg mendapatkan restaurant keluarga nya katanya

  9. Unknown says:

    Menulis sesuatu isu yang melibatkan hukum perlu teliti dan biarlah mereka yang berotoriti kerana dibimbangi pendapat yang diberi tidak selari dengan tuntutan agama. Tambahan pula jika hasil tulisan itu dijadikan pegangan setengah pihak akan menambahkan kecelaruan dalam konsep hukum dalam agama...wallahuaklam...

  10. Unknown says:

    Seorang Isteri perlu taat pada Allah, kemudian suaminya dan seterusnya barulah pada diri sendiri dan ibu bapanya. Isteri wajib menunaikan haknya kpda suami dan selepas itu barulah pada ibu bapanya. Mengikut ulama ketaatan seorang perempuan adalah mengikut pada siapa yg menanggung dosanya. jika belum berkahwin wajib taat pada ibu bapa kerana mereka menanggung dosa perempuan itu. tetapi setelah berkahwin wajib ketaatan itu berpindah pada suami kerana suami yg menanggung dosa isterinya. pon begitu suami berdosa jika cuba memutuskan hubungan silaturahim isteri dgn ibu bapanya. malahan suami juga berdosa jika tidak mengizinkan isteri untuk tidak mnziarahi ibu bapanya tanpa alasan yg munasabah.

    Namun begitu saya tidak bersetuju dgn hujah isteri tidak perlu izin suami untuk ziarah ibu bapanya. ini boleh menimbulkan kekeliruan dan bahaya jika ada yg salah tafsir. Dan telah ada yg mahu berdebat dgn suami sndiri. Nauzubillah. Isteri wajib meminta keizinan suami untuk keluar dari rumah. Dan jika isteri keluar dari rumah tanpa pengetahuan dan keizinan suaminya maka isteri akan dilaknat sehinggalah dia kembali.

    Nasihat saya berhati2 dlm menulis pandangan. Jangan sampai menimbulkan salah faham. Panduan kita Alquran dan hadis. Tak semestinya jika sesuatu perkara tak disebut dlm Alquran tp disebut dlm hadis itu tidak penting. Adalah lebih baik merujuk kepada ulamak2 dari kita memberikan pandangan menggunakan logik dan emosi.

  11. Unknown says:

    tidak jadi isu besar sekiranya wanita itu menjaga maruah (pakaian, kemaluan, dll). tapi kebanyakan pada hari ini lebih menganggap apa yang dirasakan betul untuk dibuat dulu. lalu, terjadinya benda salah tetapi sering diamalkan dan lama kelamaan menjadi BETUL.

    berkaitan izin. zaman ini banyak wanita TIDAK MEMINTA IZIN SUAMI untuk sebarang urusan kerana beranggapan hak sama rata. mereka lebih selesa BERITAHU untuk melakukan sesuatu. saya beri contoh :

    1) Beritahu
    - Zaida memaklumkan suaminya yang dia keluar berjumpa saudara mara dan kawan-kawannya. (apa suami boleh buat, dah keluar dah pun)

    2) Minta Izin
    - Zaida meminta izin suaminya untuk keluar berjumpa saudara mara dan kawan-kawannya. (bergantung terhadap keizinan suami. biasanya ada beberapa soalan susulan untuk memastikan segalanya tidak melanggar hukum)

  12. #Hadis yang dhaif adalah lebih baik daripada fikiran manusia#
    dan lebih ramai ulama menggunakan ini

  13. bagus artikel ni.harap penulis boleh rujuk ulama bukan sekadar dari internet kerana di alam internet ni mcm² adaaaaa.......sy tertarik dengan satu kupasan diatas dimana isteri dikatakan harus menziarahi ibubapanya seminggu sekali......jd hukum nya harus......wajib bagi isteri mentaati suami selagi mana apa yg disuruh suami itu tidak menyalahi hukum syarak......harus dan wajib keduanya boleh diikuti tetapi yg manakah yang utama......harus atau wajib.

  14. RXZ says:

    Pd sy xde isu pn bab ni..sekiranya suami tu berpegang teguh pd ajaran islam..seorang taat pd perintah Allah xtimbul pn soal 'tak izin' ni..

  15. Tanpa Nama says:

    “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

    Cantik detail penerangan ni. Tapi lebih elok jika ditambah berkenaan ibubapa.
    Ibu bapa yg tahu ajaran Islam, akan faham bila anak nya boleh ziarah atau tak tak boleh ziarah. Dia sendiri pasti akan seear hak dia walaupun tu anaknya. Perkara ini termaktub dalam peranan ibu bapa suami dan isteri, bukan sebelah pihak saja.

    Kesimpulan yang patut ditambah, ibubapa juga perlu sama adil aan cuba memahami dan emphaty kepada anak2 kerana mereka menjalani kehidupan baru yang tak sama dengan mereka.

    Tahukan ada anak derhaka? Tahu tak yang ibubapa derhaka juga ada?
    Mohon penulis untuk adil, dan kaji, dan lembarkan penulisan baru tajuk derhaka yang bukan spesifik untuk anak sahaja, tapi untuk ibubapa, guru, jiran, saudara dan pemimpin

  16. Tanpa Nama says:

    “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

    Cantik detail penerangan ni. Tapi lebih elok jika ditambah berkenaan ibubapa.
    Ibu bapa yg tahu ajaran Islam, akan faham bila anak nya boleh ziarah atau tak tak boleh ziarah. Dia sendiri pasti akan sedar hak dia walaupun tu anaknya. Perkara ini termaktub dalam peranan ibu bapa suami dan isteri, bukan sebelah pihak saja.

    Kesimpulan yang patut ditambah, ibubapa juga perlu sama adil dan cuba memahami dan emphaty kepada anak2 kerana mereka menjalani kehidupan baru yang tak sama dengan mereka.
    Juga harus diingat. Anak, isteri, suami, ibu bapa, sume tu amanah n pinjaman dari Allah. BUKAN MILIKAN ibu bapa, suami, isteri, mahupun anak. Allah boleh ambil balik bila2 masa. Jadi masa adanya amanah tu, JALANKANLAH DENGAN ADIL kerana sesungguhnya zalim itu tiada tempat disyurga.
    Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai (melakukan) kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia membebaskan dirinya daripada kezaliman tersebut (meminta maaf) kerana sesungguhnya (pada hari kiamat) dinar dan dirham tidak akan memberi manfaat sedikitpun, sebelum amalan kebaikannya diambil untuk saudaranya (bagi menebus kezaliman yang dilakukan). Jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, maka akan diambil kejahatan yang dimiliki saudaranya dan dilemparkan ke atasnya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No.Hadith : 6534) rujukan Kitab Sahih al-Bukhari,K Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani dan Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi

    Tahukan kalian wujudnya istilah anak derhaka? Tahu tak yang ibubapa juga boleh jatuh derhaka?
    Mohon penulis untuk adil, dan kaji, dan lembarkan penulisan baru tajuk derhaka yang bukan spesifik untuk anak sahaja, tapi untuk ibubapa, guru, jiran, saudara dan pemimpin

  17. sam says:

    banyak menonton filem tv3 ni

  18. Tanpa Nama says:

    Sy dh kahwin sepuluh tahun bila sy minta dengan suami nak balik kampung jenguk ibubapa sy mesti jawapan yang dia bg asyik² nk balik kg...sedangkan sy dah lama x balik kg... bolehkah sy balik kg tanpa keizinan suami

  19. Tanpa Nama says:

    Hati² bang silap² blh runtuh rumah Allah. Bila nabi kata d larang maka d larang jgn la kita ubah kata boleh.taat suami tu adalah redha allah bang.derhaka/dosa besar adalah nusyuz bang..byk lagi ayat² Quran bab² dosa isteri yg xtaat ni bang.

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers